CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

30.7.08

Peristiwa Yang Menyedarkan Saya Tentang Pentingnya Menabung

Ibu saya sering menasihati saya dan adik-adik saya untuk menabung. Saya seorang pemboros, oleh itu saya langsung tidak menghiraukan nasihat ibu.
Pada suatu hari, saya dan bersama-sama dua orang rakan saya pergi ke pusat beli-belah untuk berbelanja serta menonton wayang. Malangnya, ibu salah seorang rakan saya tidak membenarkannya membawa lebih daripada lima dolar, jadi saya dan seorang lagi rakan saya merungut kerana ini bermakna kami perlu memberinya sedikit wang.
“Apalah ibu awak,” saya berkata kepadanya dengan marah. “Dah tahu awak nak pakai duit banyak, bagi banyak sedikitlah. Kedekut betul!”
Rakan saya berasa kecewa walaupun dia telah pun diberi sepuluh dolar oleh saya dan rakan saya. Kami pun pergi menonton wayang.
Tiba-tiba, seorang lelaki yang memakai topeng hitam dan berpakaian seperti seorang pencuri berlari ke arah saya. Saya tidak menyedari kehadirannya di hadapan saya kerana saya sedang khusyuk berbual-bual dengan rakan-rakan saya tentang cerita wayang tadi. Pencuri itu pun mengambil kesempatan itu untuk meragut beg saya.
“Tolong! Tolong!” saya berteriak. “Ada pencuri! Tolong saya!”
Beberapa orang terdengar teriakan saya lalu terus mengejarinya. Kira-kira sepuluh minit kemudian, mereka kembali dan memberitahu saya bahawa pencuri itu sempat melarikan diri. Saya menangis teresak-esak kerana dalam beg itu ada wang berjumlah lebih daripada seratus dolar, kad pengenalan saya serta banyak lagi barang-barang yang penting, dan beg itu berjenama mahal.
Apabila saya pulang, bapa saya memarahi saya sementara ibu saya pula berasa amat kecewa. “Ibu kan dah cakap, kalau ada duit banyak, jimat dan simpan di dalam tabung, jadi duit taklah kena curi,” ibu saya berkata. Saya berasa amar malu dan insaf. Saya berjanji pada diri saya sendiri untuk berjimat-cermat dan menabung.
Beberapa bulan kemudian, saya mengira duit yang ada di dalam tabung saya. Saya berasa amat gembira dan senang hati kerana duit yang saya simpan melebihi lebih daripada lima ratus dolar! Ibu bapa saya berasa bangga dan menyimpan duit itu ke dalam akaun bank saya. Saya juga berasa bersyukur kerana kejadian yang berlaku dahulu mengubah perangai saya supaya saya berkelakuan seperti sekarang.

26.7.08

Aktiviti Pada Ahad, 27 Julai

Pada hari itu, saya bersama beberapa rakan Melayu saya akan pergi ke Sekolah Rendah Si Ling untuk menyertai dalam Seminar Matematik. Saya berancang untuk bertemu dengan rakan baik saya, Amirah, esok, di sekolah itu. Beberapa bulan yang lalu, kami pernah pergi ke Seminar yang sama dan ini adalah kali keduanya. Saya mendapati ia amat bagus dan menarik! Rakan-rakan saya yang akan pergi adalah Zakia, Farah, Amirah, Fadhli, Nadia, Norlina dan Silmi. Mungkin yang lain pergi tetapi saya tidak pasti. Saya tidak sabar untuk pergi ke Sekolah Rendah Si Ling esok!!!

17.7.08

Tetamu Yang Tidak Disangka-Sangka

Hujan turun dengan lebat pada suatu malam Ahad. Aku dan keluargaku sedang makan malam. Ibu dan bapaku baharu sahaja pulang daripada Australia dan membeli banyak buah tangan seperti hadiah dan makanan dari sana. Aku berasa sangat gembira serta senang hati pada malam itu. Walaupun aku perlu tidur cepat kerana keesokkan hari ada sekolah, aku dibenarkan tidur lewat oleh ibu dan bapaku.
Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan dari pintu rumah. Kami tertanya-tanya siapakah yang datang pada tengah malam ini. Bapaku pun bangkit untuk menjawab sementara aku dan ibuku mengemas meja yang dipenuhi makanan dan pinggan-pinggan yang kotor.
“Siapa yang datang tengah malam buta ini?” aku bertanya kepada ibuku.
“Entahlah,” dia jawab sambil mengeringkan pinggan. “Salah rumah agaknya.”
Seketika kemudian, kedengaran suara lelaki yang garau. Aku dan ibuku selesai membasuh dan mengeringkan pinggan lalu kami pun pergi ke ruang tamu untuk melihat tetamu kami.
“Ini adalah pengetua Sekolah Menengah Clementi Town, Cik Tan,” bapaku memberitahuku. Alangkah terkejutnya aku kerana Sekolah Menengah Clementi Town adalah sekolah menengah impianku. Aku berasa segan dan takut jika aku tidak dapat masuk ke sekolah menengah itu. Ibu bapaku menyambut kedatangan Cik Tan dengan tangan terbuka.
“Saya ada satu berita,” Cik Tan memberitahuku. “Kalau saya kata yang kamu diterima di sekolah menengah impian kamu, apakah reaksi kamu?”
Aku berfikir sebentar. “Mungkin saya akan berasa terkejut dan gembira dan mungkin tidak mempercayai apa yang saya dengar. Tetapi saya pasti yang saya akan berasa bersyukur dan lega.”
Cik Tan memberikan senyuman kepada aku. “Kamu nak tahu apa reaksi kamu yang sebenar?” Aku mengganguk dan Cik Tan pun menyambung. “Kamu diterima di Sekolah Menengah Clementi Town!”
Aku hampir pengsan. “Yahoo!” aku berteriak. Aku tidak kisah jika jiran aku melapor kepada polis. Ibu dan bapaku berasa amat gembira dan Cik Tan pun berkongsi kegembiraan kami. Seperti yang aku sangkakan, aku berasa amat bersyukur dan lega walaupun aku berteriak dan menjerit seperti orang hilang akal.

11.7.08

Kegemaran Saya

Kegemaran saya adalah membaca dan menulis di dalam blog-blog saya! Saya gemar membaca sejak saya kecil lagi kerana ibu dan bapa saya juga ulat buku. Saya mula menulis dalam blog semenjak setahun yang lalu. Saya mendapati kedua-dua hobi ini amat menarik dan berfaedah. Saya bersama dua orang rakan saya gemar pergi ke perpustakaan sekolah untuk meminjam buku cerita. Setelah habis membaca buku, kami akan bertukar buku dan kemudian membaca buku kami. Saya suka berbuat begitu kerana saya tidak dapat meminjam banyak buku semasa di perpustakaan sekolah. Tetapi jika saya perlu bandingkan kedua-dua hobi saya, saya lebih suka membaca! Saya tidak boleh hidup tanpa buku!!!